PETALING JAYA – Sempena Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei lalu, pelbagai hadiah telah diberikan pelajar kepada guru masing-masing antaranya kad ucapan, alat tulis, minyak angin, buah dan bermacam jenis pemberian lagi.
Tetapi menariknya menerusi perkongsian di laman TikTok seorang guru dikenali sebagai @nazmiazrie, pelajarnya telah menghadiahkan seekor ayam sempena sambutan tersebut.
Difahamkan ia bukan ayam biasa dan dipercayai daripada spesies ayam hutan dan pelajar terbabit telah membawa ayam tersebut ke sekolah dengan meletakkannya di dalam sebuah kotak.
Perkongsian guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan Utara, Gemenceh, Negeri Sembilan itu mendapat lebih 62,000 tanda suka dan hampir 2,000 komen.
Rata-rata pengguna TikTok meluahkan rasa bangga dengan kesungguhan pelajar tersebut meraikan guru mereka yang sanggup menghadiahkan gurunya dengan ayam yang mahal harganya dan ada juga yang berkongsi kisah sama sempena sambutan tersebut.
“Ayam hutan bukan murah. RM300 seekor, buat makan sedap, tiada lemak,” kata @AndaDipecat.
“Untung dapat ayam hutan bukan senang mahu dapat,” tulis frank@calista.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @zalina khatim.
“Dulu pelajar saya bagi pasu Bohemia yang harga RM1,000 lebih, mak dia datang minta balik sebab dia tak tahu anak dia ambik dalam almari, mak dia ganti hadiah lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE