fbpx

Lelaki diarah makhluk asing bina landasan UFO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Binaan yang memiliki diameter 48 meter dengan 36 bucu bintang itu boleh diamati dengan jelas dari ruang udara.

TIDAK dinafikan, sejak dahulu lagi ramai yang membuat pengakuan pernah menemui makhluk asing.

Namun, berlainan kisahnya dengan seorang lelaki bernama Werner Jaisli.

Lelaki kelahiran Switzerland itu mendakwa telah menerima mesej daripada makhluk asing melalui kuasa telepati.

Dia diarahkan untuk membina sebuah landasan bagi objek terbang dikenali sebagai UFO mendarat.

Arahan tersebut diterima oleh Jaisli ketika berada di bandar Forte Alto, Itali pada tengah malam sekitar November 2008.

Menurut Jaisli, ketika itu dia sedang beristirehat di luar rumah sebelum bekalan elektrik terputus menjadikan suasana sekeliling sangat gelap.

Kemudian, muncul dua buah objek bercahaya yang terbang di atas Sungai Calchaqui pada ketinggian kira-kira 200 meter.

Ceritanya, objek terbang tersebut bulat seperti piring gergasi, manakala permukaannya pula licin dan berkilat.

“Kedua-dua objek bercahaya itu terbang menghampiri saya dan berada kira-kira 100 meter di atas kepala.

“Ia sangat dekat sehingga saya dapat merasakan pancaran cahaya yang sangat kuat.

“Peliknya, cahaya yang luar biasa terang itu sama sekali tidak menjejaskan penglihatan saya,” katanya.

JAISLI telah membina sebuah landasan UFO berbentuk ovniport di Cachi, Argentina.

Semasa diterangi cahaya UFO, Jaisli memberitahu bahawa otaknya terasa seperti ‘mendidih’ dan panas.

Sejurus selepas itu, dia mendakwa menerima pesanan menerusi telepati daripada makhluk asing yang mengarahkannya untuk membina sebuah landasan pendaratan UFO.

Selepas menerima arahan itu, Jaisli bergegas pergi ke Argentina.

Di sana, dia menetap di Cachi, sebuah bandar kecil di wilayah Salta.

Padang pasir Salta cukup popular dalam kalangan ahli ‘ufologi’ dan makhluk asing di seluruh dunia.

Ini kerana sejumlah penampakan UFO serta fenomena-fenomena aneh pernah dilaporkan berlaku di situ sejak hampir tiga dekad lalu.

Setibanya di Cachi, Jaisli mula membina tempat pendaratan UFO yang dinamakan sebagai ovniport dengan corak bintang.

“Bentuknya berdiameter 48 meter dengan memiliki 36 bucu serta bintang kecil di tengahnya.

“Saya membinanya daripada batu-batu putih yang diambil dari gunung berhampiran. Manakala, bintang kecil pula dihasilkan menggunakan timbunan batu gelap.

“Saya memilih corak ovniport kerana kehendak makhluk asing tersebut.

“Apa yang saya tahu, saya cuma ditugaskan untuk menyiapkan landasan berkenaan saja,” katanya.

Namun, persoalan yang bermain dalam kalangan ramai adalah bagaimana cara dia menyiapkan landasan sebesar itu dan cara bongkah batu tersebut diangkut.

JAISLI membina landasan berbentuk aneh itu dengan menggunakan batu putih yang diambil dari gunung berhampiran.

Paling mengagumkan, keseluruhan seni bina itu hanya boleh diamati dengan jelas dari ruang udara.

Selama bertahun-tahun, Jaisli dan karya uniknya itu sangat terkenal di seluruh dunia.

Sehingga kini, masih tiada satu UFO pun yang dilihat mendarat di tempat tersebut.

Sebaliknya, kawasan itu menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara terutama para peminat UFO.

Difahamkan, lelaki berumur lebih 70 tahun itu pernah dipenjarakan pada 2011 atas kesalahan mencuri dompet seorang pelancong dari Uruguay.

Selepas dibebaskan, Jaisli dilaporkan tidak lagi menetap di Cachi.

Namun yang tinggal kini hanyalah binaan landasan UFO buatan Jaisli yang menjadi kunjungan dan sanjungan ramai dari seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI