BARCELONA – Bintang muda Barcelona, Gavi mendedahkan keinginannya untuk kekal bersama juara La Liga itu walaupun kini menjadi rebutan Manchester City, Liverpool dan Chelsea.
Selain tiga gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut, beberapa kelab dari Eropah juga menyatakan minat mereka untuk menyambar khidmat pemain tengah berusia 18 tahun itu.
Ia berdasarkan situasi Gavi boleh menyertai mana-mana kelab secara percuma sehingga Barcelona menyelesaikan masalah kewangan mereka yang membolehkan namanya didaftarkan semula dalam skuad utama.
Begitupun, Gavi sanggup menunggu The Catalans walaupun terdapat laporan di Sepanyol mengatakan Chelsea sudah pun mengemukakan tawaran rasmi untuk mendapatkan khidmatnya.
“Saya mahu anda semua tenang mengenai masa depan saya. Sejak kecil saya hanya mahu bersama Barcelona kerana ini adalah kelab idaman saya.
“Jangan risau, kekal tenang kerana saya tahu apa pilihan saya,” kata Gavi yang menyertai skuad remaja Barcelona ketika berusia 11 tahun pada 2015.
Walaupun baru berusia belasan tahun, tetapi Gavi sudah bermain 93 perlawanan dalam dua musimnya bersama pasukan senior Barcelona selain turut mendapat panggilan Sepanyol beraksi di Piala Dunia Qatar 2022.
Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez turut menegaskan, beliau tidak rela kehilangan Gavi kepada pasukan-pasukan lain kerana melihat pemain itu sebagai aset masa depan kelabnya.
“Saya tak rasa Gavi akan gembira bersama kelab lain. Dia baru berumur 18 tahun tetapi dia adalah pemain utama kami. Saya tak tahu apa keputusannya tetapi saya berharap masa depannya di sini,” jelasnya. – AGENSI