BUKAN sahaja suka menyanyi, malah gadis Pesona Ahad turut menaruh minat mendalam terhadap seni tarian tradisional khususnya tarian dari Borneo.
Selain itu, Gendung Merin, 20, atau lebih mesra disapa Gee, turut terlibat dalam bidang peragaan dan beberapa pertandingan kecantikan sejak usianya 17 tahun lagi.
Mengakui seorang yang sangat pemalu sebelum ini, anak kelahiran Tatau, Bintulu, Sarawak ini kini semakin rancak menceburi pelbagai pertandingan bagi meningkatkan keyakinan diri.
Kepada Kosmo! Ahad, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini bercerita tentang pandangan dan harapan tentang jalan yang bakal diambilnya kelak.
Pesona Ahad: Boleh ceritakan mengenai latar belakang?
Gee: Saya merupakan seorang pelajar dan menuntut di sebuah kolej di Kuching dalam bidang Diploma Penjagaan Kesihatan di tahun pertama.
Di kolej, saya terlibat aktif dalam kelab tarian tradisional dan pernah beberapa kali buat persembahan.
Saya juga terlibat secara separuh masa dalam bidang peragaan dan pertandingan kecantikan yang dapat meningkatkan keyakinan diri.
Kenapa pilih bidang penjagaan kesihatan?
Cita-cita saya yang sebenar ingin menjadi seorang jururawat, tetapi tidak kesampaian. Mungkin agak pelik, tetapi saya memang suka dengan suasana di hospital. Tambah pula ramai ahli keluarga seperti ibu saudara dan sepupu bekerja dalam bidang sama. Selain itu, niat ikhlas memang ingin bantu orang lain.
Apa pendapat Gee tentang fasiliti kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak?
Pada saya, contohnya di kampung saya sendiri, fasiliti kesihatan itu sangat rendah. Capaian untuk ke kawasan pedalaman sangat menyedihkan kerana dengan jalan yang teruk, ingin pergi bandar pun jauh dan kurang pegawai yang bertugas.
Sebab itu saya teringin nak jadi jururawat. Kalau perlu kerja di kawasan pedalaman pun saya sanggup.
Pencapaian Gee setakat ini?
Saya suka menyertai pertandingan kecantikkan dan personaliti di Sarawak. Antara yang saya menang pada tahun 2022 adalah tempat pertama bagi Pekit Kumang Tatau dan Pekit Kumang TikTok dan Miss Favourite Hrelv Studio.
Macam mana sokongan ibu bapa dan keluarga?
Pada mulanya memang ibu bapa tidak boleh terima sepenuhnya untuk saya sertai bidang peragaan dan pertandingan kecantikan kerana risau ditipu.
Saya pula masih muda. Mereka juga mahu saya menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Namun selepas melihat saya berdikari untuk bina kehidupan sendiri, sokongan diterima semakin kuat.
Cabaran dihadapi Gee?
Sejujurnya, susah untuk saya bahagikan masa dengan baik antara belajar dan kerja sampingan. Kelas penuh pada hari biasa tambah pula dengan peperiksaan.
Baru-baru ini saya dapat tawaran daripada sebuah rangkaian televisyen di Sarawak. Tetapi saya perlu tolak dahulu kerana ingin pentingkan pelajaran, di samping berdepan masalah pengangkutan.
Apa perancangan 10 tahun akan datang?
Gee nampak diri sendiri sebagai seorang pakar kesihatan. Bidang peragaan ini bukan cita-cita saya, sebab ia boleh dikira sekadar hobi.
Tetapi saya tetap ingin masuk pertandingan kecantikan lagi sebelum menginjak usia 30 tahun.
Baru-baru ini ingin masuk Miss Petite Global, tetapi tangguh dahulu kerana sedang belajar.