SEBERANG PERAI – Berita mengenai kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim hanya diketahui keluarganya melalui media sosial pagi semalam.
Ibunya, Che Tom Hassan, 64, berkata dia terkejut dengan perkhabaran itu, namun kekal positif yang anak ketiga daripada lima beradik itu akan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Selepas mengetahui Warie (nama panggilan keluarga) hilang, kami sekeluarga berkumpul di sini bersama-sama isteri dan dua anaknya untuk menantikan jika ada maklumat lanjut.
“Sejujurnya, saya amat mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia, mohon doakan Warie selamat pulang.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Kerai Besar, Kepala Batas hari ini.
Sambil menahan sebak, Che Tom menyifatkan yang Warie ialah seorang individu yang sentiasa bersemangat, berkeyakinan dan kompetitif sejak kecil.
“Ketika di bangku sekolah lagi, dia memang aktif dan suka masuk pertandingan malah akan pastikan kemenangan berpihak padanya.
“Saya amat berharap yang Warie baik-baik saja walaupun diri sendiri tidak lena tidur mengenangkan sudah makan kah dia, cukupkah bekalannya sementara usaha mencarinya sedang berlangsung.
“Saya ada cuba menghubungi pasukannya untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai Warie namun gagal,” katanya.
Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat pagi kelmarin selepas berjaya menakluk punca Everest petang Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE