PARIT BUNTAR – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan membuat sidang akhbar khas bersama 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum bermulanya sidang DUN Perak, esok.
Difahamkan, sidang akhbar khas itu bertujuan bagi menjawab spekulasi yang dimainkan oleh Ketua Pembangkang, Razman Zakaria, berhubung dakwaan terdapat ADUN kerajaan yang akan menarik sokongan daripadanya.
Turut difahamkan, sidang akhbar itu dilakukan lebih awal sebelum sidang DUN bermula kerana tidak mahu spekulasi yang dimainkan sejak beberapa hari lalu mengganggu usul-usul mensyuarat yang akan dibentangkan.
Terdahulu, media hari ini melaporkan, Razman mendakwa terdapat ADUN Kerajaan Perpaduan di Perak yang telah bertemu dengannya, namun beliau enggan mendedahkan butiran pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan sekiranya ADUN berkenaan mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional di Perak. – KOSMO! ONLINE