LONDON – Chelsea berada dalam situasi sukar menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City di Etihad malam ini apabila tujuh pemain dilaporkan tidak cergas.
Beberapa pemain tonggak seperti Benoit Badiashile, Mason Mount, Reece James, Ben Chilwell, N’Golo Kante, Marc Cucurella dan Kalidou Koulibaly dijangka tidak dapat diturunkan berdepan pendahulu liga itu.
Justeru, keadaan itu pastinya sukar buat The Blues untuk menyekat kemaraan City menjadi juara liga, lebih-lebih lagi skuad kendalian Pep Guardiola itu baru sahaja melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
“Kami kembali berada dalam situasi sebelum ini apabila beberapa pemain utama mengalami kecederaan. Mount, James, Chilwell, Kante dan Cucurella belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan nanti.
“Sementara itu, Koulibaly pula sudah kembali menyertai latihan, tetapi belum bersedia untuk bermain manakala Badiashile tercedera ketika latihan dua hari lalu, jadi akan terlepas bertemu City,” katanya.
Legenda Chelsea itu juga memuji aksi ditampilkan City sepanjang saingan musim ini sehingga mereka pada landasan terbaik untuk menamatkan kempen 2022/23 dengan merangkul gelaran trebel.
“Mungkin City bukan pasukan terbaik sepanjang zaman tetapi saya tahu mereka sangat menakjubkan. Tahniah kepada mereka kerana dapat mengekalkan aksi konsisten seperti itu pada musim ini,” ujar Lampard. – AGENSI