LIVERPOOL – Jaringan terakhir di Anfield menjadi hadiah perpisahan paling bernilai buat Roberto Firmino apabila menyelamatkan maruah Liverpool ketika terikat 1-1 dengan Aston Villa, sebentar tadi.
Keputusan itu juga menafikan hasrat The Reds untuk merakam kemenangan kelapan berturut-turut dan kini harapan menamatkan musim di kelompok empat teratas juga makin kelam.
Aston Villa lebih mendominasi permainan sejak daripada minit pertama dan berjaya memperoleh sepakan penalti namun peluang keemasan pada minit ke-21 itu gagal disudahkan oleh Ollie Watkins.
Selang tujuh minit selepas itu, Jacob Ramsey akhirnya berjaya merobek gawang Liverpool selepas bijak menghidu hantaran lintang Douglas Luiz.
Tyrone Mings yang terselamat daripada layangan kad merah kerana mengasari Cody Gakpo menjadi tonggak penting kepada Aston Villa apabila berjaya mematahkan beberapa gerakan merbahaya Liverpool
Sepuluh minit selepas aksi bersambung, Gakpo berjaya merobek gawang pelawat sebaliknya jaringan itu dibatalkan kerana Virgil van Dijk yang jadi pencetus terlebih dulu dikesan berada di kedudukan offside.
Walaupun mendominasi permainan, kecemerlangan Mings dan ketangkasan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez juga terus menghadirkan kekecewaan buat The Reds.
Bagaimanapun, minit ke-89, Firmino berjaya membaca dengan baik umpanan Mohamed Salah untuk menghasilkan gol penyamaan. – KOSMO! ONLINE