BRIGHTON – Jadual padat menanti Brighton musim depan sekiranya mereka berjaya melangkah ke saingan bola sepak Eropah dengan memenangi tiga baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Selepas tewas 1-4 kepada Newcastle United minggu lalu, Brighton pastinya mahu menjadikan pasukan tersingkir, Southampton sebagai mangsa kebangkitan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Amex malam ini.
Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi tanpa berselindung mengakui, pemain-pemainnya berada dalam keadaan penat selepas mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu sebelum ini.
“Secara jujur, kami tidak biasa bermain tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, jadi kami benar-benar ‘sengsara’. Ramai pemain gagal menampilkan aksi terbaik apabila mengharungi jadual padat.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk mereka belajar dan menyesuaikan diri beraksi dua perlawanan dalam tempoh empat hari. Musim depan saya yakin kami sudah bersedia untuk bermain setiap hari,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berada dalam dilema untuk memilih kesebelasan terbaik bertemu The Saints memandangkan pemain-pemain penting seperti Solly March, Adam Lallana, Adam Webster dan Joel Veltman masih cedera.
“Kami perlu tabah bagi menghadapi situasi sukar kerana kami berdepan lapan atau sembilan masalah kecederaan pemain. Saya tidak mahu jadikan ia sebagai alasan kerana semua pemain yang ada perlu bersedia,” ujar De Zerbi. – AGENSI