PETALING JAYA – Demi sesuap ‘content’ (kandungan) di laman sosial sosial, seorang lelaki sanggup membahayakan diri dengan merakam aksinya berada di dalam kolam mainan di atas jalan raya.
Bukan itu sahaja, tindakan lelaki itu juga turut menyusahkan pengguna jalan raya apabila dia telah menutup sebahagian laluan di taman perumahan tersebut.
Tindakan lelaki tersebut telah dirakam oleh seorang jirannya sebelum rakaman itu tular di media sosial.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi kejadian dan tarikh sebenar klip video itu dirakam.
Berdasarkan klip video berdurasi 43 saat itu, kelihatan lelaki yang berkain pelikat tersebut telah meletakkan kolam mainan di atas jalan raya sambil merakam aksinya berada di dalam kolam terbabit.
Ekoran tindakannya itu, jalan di kawasan tersebut sesak apabila kebanyakan kenderaan terpaksa berhenti dan mengelak daripada melanggar lelaki tersebut.
Susulan klip video tersebut, rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki berkenaan yang dianggap melampau dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.
“Kalau aku report (buat laporan) polis je, bagi dia buat content dalam jel, menyusahkan orang sahaja,” tulis Martinaugustine Augustine Pong.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Mizi Miji.
“Zaman semakin canggih, tapi sayang penampakan kebodohan jelas di mata rakyat Malaysia. Jangan nak tiru negara barat, mereka suka buat benda-benda pelik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE