fbpx

Bella Astillah syukur ramai sudah nampak bakat nyanyiannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA ASTILLAH

PENYERTAANNYA dalam program nyanyian Famili Duo tahun lalu, bergandingan dengan sepupunya yang juga penyanyi, Wani Kayrie membuka pintu rezeki buat Bella Astillah dalam bidang seni suara.

Jika sebelum ini, bakat nyanyiannya ibarat dipandang sebelah mata. Namun selepas program itu berakhir pada awal Januari lalu, Bella yang berjaya menduduki tempat ketiga bersama Wani dalam program tersebut bersyukur apabila rezekinya dalam bidang nyanyian semakin mencurah-curah.

Kata Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, banyak pihak mula nampak kemampuannya dalam bidang nyanyian, sehingga jadual hariannya kini padat dengan undangan persembahan pentas.

“Pentas Famili Duo membuka pintu rezeki kepada saya dalam bidang nyanyian. Selepas program tersebut berakhir, saya banyak dapat undangan untuk menyanyi di majlis-majlis korporat dan tertutup.

“Maksudnya orang sudah mula nampak dan percaya dengan bakat nyanyian saya. Itu juga sebenarnya rezeki anak-anak,” kata wanita asal Sandakan, Sabah itu.

Disoal tentang komitmen membahagikan masa antara nyanyian dan anak-anak, selebriti berusia 29 tahun itu berkata, nyanyian sebenarnya memberikan lebih banyak untuk dirinya meluangkan masa dengan keluarga berbanding lakonan.

“Sebenarnya bila sudah mula aktif menyanyi, saya lebih banyak luangkan masa dengan anak-anak berbanding jika berlakon.

“Contohnya kalau saya ada undangan nyanyian, saya masih boleh bawa anak-anak bersama dan mereka akan menunggu saya sehingga selesai membuat persembahan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Bella tidak menolak untuk menyertai lagi mana-mana program realiti selepas ini walaupun mengakui terpaksa berdepan dengan tekanan.

Bella pernah muncul dengan single berjudul Tenang pada 2020, namun tidak begitu menjadi.

“Saya tidak menolak (kalau bertanding lagi dalam program lain). Sebenarnya ketika saya menyertai Famili Duo, saya turun berat badan sebanyak enam kilogram.

“Tetapi perkara itu tidak membuatkan saya serik kerana pertandingan sebegitu mencabar kebolehan saya,” katanya.

Menjadikan Cikgu Syafi sebagai guru vokalnya sehingga kini, Bella juga mempunyai perancangan untuk tampil dengan single duet bersama suami tercinta, Aliff Aziz.

“Ada perancangan cuma bukan dalam waktu terdekat.

“Lagi pun Aliff juga mahukan sebuah material duet yang betul-betul berkualiti yang boleh diterima peminat,” jelasnya.

Dalam perkembangan terkini, Bella bagaimanapun sedang sibuk menghasilkan sebuah single solo genre balada yang dihasilkan oleh komposer terkenal, Sharon Paul.

Menariknya, lirik single tersebut hasil tulisannya sendiri yang mengisahkan fasa ‘patah hati’ seorang wanita.

“Saya ada hasilkan lirik sebuah lagu untuk single terbaharu, tapi belum siap sepenuhnya kerana masa tidak mengizinkan.

“Saya tidak mahu keluarkan single ini dalam keadaan tergesa-gesa seperti single terdahulu. Lirik yang saya tulis ini mengisahkan situasi sekeliling.

“Ramai wanita hari ini melalui fasa patah hati. Jadi saya rasa perlu keluarkan sebuah lagu yang memberi semangat kepada para wanita di luar sana,” jelasnya.

Bella mengakui bukan mudah untuk dirinya menghasilkan lirik kerana memerlukan penghayatan tinggi.

“Saya suka menulis setiap kali bersendirian dan ada masa terluang. Jadi kenapa tidak saya cuba hasilkan lirik lagu sendiri,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI