SAN SALVADOR, El Salvador – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam insiden rempuhan di sebuah stadium di El Salvador ketika orang ramai berkumpul untuk menonton perlawanan bola sepak tempatan, semalam.
“Jumlah kematian selepas rempuhan di Stadium Cuscatlan berjumlah sembilan orang,” kata kenyataan Polis Awam Negara menerusi laman Twitter.
Agensi keselamatan melaporkan bahawa beberapa orang yang cedera termasuk dua mangsa yang kritikal telah dibawa ke hospital berdekatan.
Menurut polis, laporan awal mendapati sekumpulan penyokong cuba memasuki stadium secara paksa untuk menonton perlawanan antara pasukan Alianza dan FAS.
Menteri Dalam Negeri El Salvador, Juan Carlos Bidegain berkata, pasukan pertama perkhidmatan perlindungan awam berada di lokasi kejadian dan merawat mangsa kejadian itu.
Perlawanan itu ditangguhkan ketika anggota kecemasan memindahkan orang ramai dari stadium di mana beratus-ratus pegawai polis dan tentera berkumpul ketika siren ambulans dibunyikan.
Menteri Kesihatan, Francisco Alabi berkata, rangkaian hospital di El Salvador menyediakan rawatan perubatan kepada semua pesakit selepas rempuhan tersebut.
Nahas itu berlaku tujuh bulan selepas 135 orang termasuk lebih 40 kanak-kanak maut dalam insiden rempuhan ketika perlawanan bola sepak diadakan di Malang, Indonesia. – AFP