KOTA TINGGI – Tindakan seorang lelaki yang enggan berhenti selepas diarahkan pihak polis berakhir dengan penangkapannya selepas motosikal ditunggang terbabas.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah mengesan penyebaran video memaparkan aksi sebuah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kuala Sedeli mengejar sebuah motosikal di Jalan Permai -Taman Sedili, Kota Tinggi semalam.
Katanya, ketika kejadian anggota URB berkenaan sedang menjalankan tugas URB Ops Cegah Jenayah, Ops Tapis kira-kira pukul 11 pagi.
“Anggota tersebut kemudian terserempak dengan sebuah motosikal jenis Yamaha, berwarna merah tanpa mempunyai nombor pendaftaran depan dan belakang sedang ditunggang oleh seorang warga tempatan dalam keadaan yang mencurigakan.
“Anggota URB kemudian telah mengarahkan penunggang motosikal tersebut untuk memberhentikan kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan tetapi penunggang itu bertindak melarikan diri masuk ke Kampung Teluk Jeri sehingga terbabas di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Ekoran itu anggota URB berkenaan telah menahan lelaki tersebut. Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah dan motosikal yang ditunggang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, suspek telah dibawa ke balai kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah dan hasil daripada ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin.
“Tiga tindakan saman POL 257 juga telah dikeluarkan keatas suspek dibawah kesalahan topi keledar dan nombor pendaftaran.
“Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri semasa memandu kenderaan. Tindakan mengabaikan keselamatan sebegini ini dapat mengundang kecederaan parah sekiranya terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat yang dimuat naik di Facebook sejak semalam memaparkan aksi sebuah URB mengejar sebuah motosikal. – KOSMO! ONLINE