fbpx

Tugas baharu Felcra bantu keterjaminan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid semasa berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Mahaad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui dekat Machang hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

MACHANG – Felcra Berhad (Felcra) diberi tanggungjawab baharu apabila menjadi salah satu agensi bagi membantu melengkapkan keterjaminan makanan negara pada masa hadapan menerusi aktiviti agro pertanian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu menjadi tanggungjwab baharu yang diberikan kepada Felcra untuk membantu kerajaan.

Menurutnya, usaha itu turut membuka peluang kepada peserta Felcra dan generasi kedua untuk menjana pendapatan melalui bidang agro pertanian.

“Usaha ini bukan untuk bersaing dengan pengeluar sedia ada, tetapi sekadar mengurangkan kos sara hidup. Ia juga untuk menentukan bahawa aspek keterjaminan makanan ini tidak bermusim sama ada musim raya atau di luar musim tersebut.

“Tanggungjawab baharu Felcra ini secara tidak langsung mampu membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam mengurangkan import bahan makanan selain beras,daging lembu, ayam, telur dan beberapa bahan makanan lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Mesra Aidilfitri di Maahad Tahfiz Yaakubiah di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, setakat ini, kerajaan sudah memiliki estet padi seluas 3,000 hektar di Perak dan mengenalpasti sebanyak 12,000 hektar di Sarawak selain 6,000 hektar di Sabah.

Katanya, estet padi itu bergantung kepada ketersediaan tanah yang luas untuk dijadikan estet seperti di Perak.

“Persetujuan dasar sudah diperoleh di Sabah dan Sarawak. Kerja-kerja awalan untuk melakukan kajian kemungkinan sudah dilaksanakan.

“Usaha ini tidak akan mengambil tanah hak milik kerajaan negeri atau individu, tetapi kita mempunyai perkongsian pintar seperti yang dilakukan di Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI