MERSING – Tindakan seorang anak yang menyedari bekalan elektrik di rumah terputus berjaya menyelamatkan nyawa kedua orang tuanya dalam kejadian kebakaran berlaku di Jalan Gading Gajah 2, Kampung Gajah Mati, di sini, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3.47 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota dari BBP Mersing dan enam dari BBP Endau dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai jenis separuh kekal yang terbakar 80 peratus. Dimana dalam kejadian itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Honda Stream dan enam buah motosikal pelbagai jenis dimana dua daripada adalah jenis Yamaha dan Modenas Kris.
“Difahamkan ketika kejadian terdapat tiga orang berada di rumah tersebut iaitu seorang anak dan ibu bapanya. Kita dimaklumkan anaknya dari Terengganu pulang ke rumah untuk menghantar ayahnya yang uzur untuk rawatan ke hospital pada pagi ini.
“Anak lelaki pasangan itu memberitahu sebelum kebakaran berlaku kediaman mereka alami masalah terputus bekalan elektrik sebelum mengesan kebakaran dipercayai datang dari kawasan dapur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, anak lelaki mangsa cuba menyelamatkan bapanya yang uzur dan ibunya keluar dari rumah sebelum mahu menyelamatkan kereta dengan mengambil kunci didalam rumah namun tidak berjaya apabila api marak dengan cepat.
Menurutnya, pasukan operasi bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran 1100 kaki satu breaching serta dua pancutan dari jentera Mersing dan Endau menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran secara ulang alik hingga operasi tamat pada pukul 8.28 pagi.
Tambahannya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian. – KOSMO! ONLINE