DUNGUN – Polis tidak menolak kemungkinan pemandu bas persiaran yang mengorbankan dua nyawa dalam kemalangan di Kilometer 375.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Bukit Besi di sini kelmarin memandu dalam keadaan mengantuk.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal percaya lelaki berusia 26 tahun itu mengantuk sewaktu kejadian sehingga gagal mengawal bas dipandunya.
“Pemandu bas persiaran itu telah ditahan bagi membantu siasatan selepas dia selesai menjalani rawatan di Hospital Hulu Terengganu semalam.
“Siasatan lanjut sedang giat dilakukan termasuk memeriksa kesan tayar di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baharudin berkata, hasil ujian urin dan alkohol lelaki yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu bagaimanapun negatif.
Tambah beliau, polis sedang menunggu hasil ujian darah pemandu berkenaan dan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap bas terlibat.
Kosmo! semalam melaporkan pengurus kilang pengedaran kereta, Tan Poh Hwa, 42, dan abang iparnya, Choo Chia Tian, 44, maut dalam kemalangan tersebut.
Sewaktu kejadian, bas membawa 30 pelancong yang dalam perjalanan ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu terbabit didakwa dipandu secara laju. – KOSMO! ONLINE