SHAH ALAM – Management & Science University (MSU) ingin melahirkan 100 jutawan dalam kalangan graduan universiti tersebut yang kini menjadi pemain industri dalam pelbagai bidang.
Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, selepas lebih tiga dekad MSU melahirkan ribuan graduan pihaknya komited ingin meningkatkan potensi alumninya untuk lebih berjaya.
“Kita sedang mewujudkan pangkalan data alumni-alumni ini dan meneliti kursus ‘micro credential’ yang sesuai untuk mereka ikuti bagi meningkatkan potensi diri menjadi seorang jutawan.
“Bagi mencapai objektif tersebut, kita akan memperkasa program kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan keusahawanan di MSU untuk alumni-alumni ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen MSU Ke-31 di Seksyen 13 hari ini.
Konvokesyen tersebut telah disempurnakan Canselor MSU, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Mengulas mengenai ucapannya pada majlis tersebut, Mohd. Shukri berkata, MSU telah membuat perubahan 360 bagi memastikan kebolehpasaran graduan terus berada pada landasan yang terbaik.
“Pasca pandemik Covid-19 kita ingin memastikan mahasiswa kita bukan sahaja boleh diterima pasaran kerja tetapi mereka mewujudkan sendiri kerja dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (SME).
“Ini yang menjadi fokus kita untuk mewujudkan kursus micro credential (jangka pendek) untuk alumni-alumni kita lebih berjaya dalam bidang keusahawanan seperti dalam bidang berasaskan teknologi dan teknologi kewangan (fintech),” ujarnya.
Seramai 1,532 graduan dari 102 program pengajian menerima skrol masing-masing pada konvokesyen berlangsung hari ini dan esok. – KOSMO! ONLINE