PETALING JAYA – Kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berjaya mengurangkan kadar pengangguran negara daripada 599,600 pada suku tahun keempat 2022 kepada 588,700 orang pada suku tahun pertama tahun ini.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, kadar pengangguran antara negeri juga menurun, selari dengan penurunan kadar pengangguran nasional, dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu 0.8 peratus, diikuti Perlis (2.1 peratus), Pulau Pinang (2.3 peratus) dan Negeri Sembilan (2.5 peratus).
“Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh KSM adalah menerusi Perkeso, Talentcorp, HRDC dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh KSM bersama agensi-agensi adalah menyediakan Portal pekerjaan MyFutureJobs untuk membantu pencari kerja mendapat peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu katanya, portal www.myfuturejobs.gov.my merupakan sebuah platform secara maya dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kompetensi, pengalaman, gaji dan lain- lain mengikut keperluan majikan.
“Seramai 793,086 orang pencari kerja berjaya ditempatkan ke alam pekerjaan sehingga April 2023.
“Dalam merancakkan penawaran pekerjaan majikan kepada pencari kerja, Perkeso melaksanakan program-program temuduga di semua Pejabat Perkeso Negeri secara harian dan mingguan serta melaksanakan Karnival Pekerjaan yang berskala besar,” ujarnya.
Selain itu katanya, bagi tahun 2023, sebanyak 4,130 program disasarkan dan setakat April 2023, sebanyak 1,127 program dilaksanakan dengan jumlah seramai 5,121 orang pencari kerja berjaya mengisi kekosongan pekerjaan.
“Di samping itu, KSM sentiasa berusaha untuk meningkat dan memperkukuh kompetensi sumber manusia bagi menyokong peralihan pekerjaan masa depan dan penggunaan automasi serta mekanisasi sekali gus mengurangkan kebergantungan buruh asing.
“Sehubungan dengan itu, melalui Majlis TVET Negara (MTVET), pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE