KOTA BHARU – Kelantan United FC (Kelantan United) terus menghuni tangga tercorot Liga Super apabila tewas 1-3 kepada KL City FC (KL City) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam ini sekali gus menyaksikan sembilan kekalahan daripada 11 perlawanan saingan Liga Super musim ini.
KL City membuka jaringan pada minit ke-17 apabila T. Saravanan yang tidak dikawal dengan tenang memanfaatkan peluang sekali gus menghukum kealpaan barisan pertahanan tuan rumah.
Kelemahan barisan pertahanan Kelantan United sekali lagi dihukum apabila Sean Gan Gianelli dengan selesa menjaringkan gol kedua pada minit ke-23 ketika hanya berdepan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Asyraaf Omar.
Turun selaku tuan rumah, usaha Kelantan United mendapatkan jaringan berhasil apabila pemain pertahanan, Mohamad Fandi Othman dijatuhkan dalam kotak penalti menyebabkan hadiah sepakan penalti.
Peluang keemasan itu tidak disia-siakan apabila Devid De Santana Silva memastikan sepakan diambilnya berjaya menewaskan Muhammad Azri Ab. Ghani dan menerjah jaring gol KL City pada minit ke-34 untuk gol pertama Kelantan United.terus garang menggempur Kelantan United.
Nasib ternyata memihak kepada pasukan pelawat apabila dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan apabila Herlison Caion dijatuhkan oleh pertahanan Kelantan United..
Kelantan United bagaimanapun dihadiahkan sepakan penalti tidak lama kemudian, namun sepakan diambil Yan Victor Silva berjaya diselamatkan Muhammad Azri sekali gus memastikan KL City pulang dengan tiga mata. – KOSMO! ONLINE