PUTRAJAYA – Mana-mana pengguna yang mempunyai bukti wujud unsur penipuan dalam urusan pembelian tiket konsert hiburan Coldplay boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
KPDN dalam kenyataan berkata, langkah itu membolehkan siasatan dijalankan di bawah mana-mana akta yang dikuat kuasakan kementerian melalui bukti-bukti berkaitan.
“Berhubung isu penjualan semula tiket konsert Coldplay pada harga terlalu tinggi, KPDN ingin menasihati pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah.
“Sebagai pelanggan, pengguna berhak memilih tiket pada harga bersesuaian dengan kemampuan mereka dan penawaran harga berpatutan oleh peniaga,” katanya.
Pada masa sama, KPDN juga menyeru semua peniaga agar lebih beretika dalam urus niaga dan mengelakkan daripada melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut memberitahu, kementeriannya akan mengadakan perjumpaan dengan penganjur bagi mendapatkan situasi sebenar yang berlaku kepada jualan tiket konsert terbabit.
Tambahnya, KKD akan meneliti mekanisme pembelian tiket tersebut terutama melibatkan isu platform digital, sama ada perlu ada sekatan ataupun syarat-syarat dicadangkan ataupun melihat kepada kesesuaian keadaan.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kewujudan akaun-akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay di mana ia didakwa dikendalikan oleh ulat tiket pada harga mahal.
Coldplay menjayakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 22 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam siri jelajah Music of The Spheres World Tour. – KOSMO! ONLINE