fbpx

Fokus didik ibu bapa elak guna bas, van sekolah haram – JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan usaha memberi kesedaran dan mendidik ibu bapa supaya tidak menggunakan perkhidmatan bas atau van sekolah haram di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, golongan itu perlu menyedari risiko bahaya bakal dihadapi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kelak.

Kata beliau, pihaknya mahu lebih kepada usaha advokasi atau pendidikan berbanding tindakan penguatkuasaan semata-mata.

“Kita mahu ibu bapa sedar mengenai risiko menggunakan perkhidmatan tidak sah seumpama itu. Jangan bila sesuatu masalah timbul nanti, waktu itu mereka baru menyesal dan ia sudah terlambat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Selangor di sini, malam tadi.

Khairul menjelaskan kebanyakan ibu bapa menggunakan bas atau van haram kerana masing-masing sibuk bekerja tanpa memikirkan risiko ke atas anak mereka.

Kosmo! sebelum ini melaporkan terdapat 4,000 bas atau van sekolah haram dianggarkan beroperasi di Lembah Klang dengan menyamai pengusaha bas sekolah berdaftar.

Modus operandi pemilik bas haram termasuk mengecat kenderaan mereka berwarna kuning bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan ibu bapa.

Berdasarkan operasi dilakukan JPJ Selangor bermula awal Januari hingga bulan ini, sebanyak 72 kesalahan menyalah gunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikesan seluruh negeri ini.

Kesalahan itu juga boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI