PETALING JAYA – Dengan sekali lafaz, pelakon Esma Daniel menamatkan zaman duda selepas selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Nur Atira Mazlan dalam sebuah majlis di kediaman pengantin perempuan di Kajang hari ini.
Kongsi Esma, 54, mereka dinikahkan oleh bapa mentuanya, Mazlan Abdul Malik.
Esma menyerahkan sebentuk cincin emas berlian dan mas kahwin berjumlah RM300 kepada Atira.
Dalam majlis tersebut juga, Esma menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
“Sebenarnya kami sudah bertunang pada 14 Januari lalu dan sepatutnya ‘ikat’ selama setahun sebelum nikah namun rasanya elok disegerakan apabila keluarga sudah restu.
“Alhamdulillah saya sah bergelar suami dengan sekali lafaz. Walaupun sudah ada pengalaman sebelum ini tetapi tetap rasa gementar ketika hendak bernikah.
“Hari ini majlis pihak perempuan manakala belah lelaki pula akan diadakan selepas anak lelaki saya berkawin pada bulan Ogos depan,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Berkongsi detik perkenalan dengan isteri, hatinya mula terbuka untuk kembali bergelar suami selepas merasakan Atira merupakan wanita yang sesuai buat dirinya.
“Saya pernah dua kali gagal dalam perkahwinan dan untuk berkahwin semula itu bukan satu keputusan yang mudah sebenarnya.
“Pastinya kali ini saya berdoa hubungan kami berakhir hingga ke syurga.
“Dia pun memahami kerjaya saya sebagai pelakon, insya-Allah doakan kami,” ujarnya.
Untuk rekod, Esma pernah berkahwin dengan pelakon Sherie Merlis pada 1992 dan dikurniakan dua cahaya mata sebelum bercerai pada 1997.
Aktor itu kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Nitra Sari Omar pada 2002 namun disahkan bercerai pada 2016.
Hasil perkahwinan itu, Esma dan Nitra dikurniakan enam orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE