MANCHESTER – Harapan Manchester United untuk mengekalkan kedudukan di kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris kembali menyinar selepas penggempur sensasi mereka, Marcus Rashford dilaporkan semakin pulih.
Rashford sebelum ini terlepas aksi ketika United menundukkan Wolverhampton Wanderers 2-0 selepas dilaporkan mengalami masalah kecederaan kaki, namun dia dilihat sudah menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan tersebut di Carrington.
United akan bertandang ke Stadium Vitality malam ini untuk berdepan cabaran Bournemouth dalam perlawanan wajib menang berbaki tiga lagi perlawanan EPL musim ini untuk menjamin slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Rashford menikmati musim yang cukup cemerlang musim ini apabila meledak 29 gol dalam 53 penampilan, namun sejak 10 perlawanan lalu, dia hanya berjaya menjaringkan dua gol menyebabkan United menagih ketajamannya pada aksi kali ini.
The Red Devils ketika ini berada di kedudukan keempat dan memiliki kelebihan satu mata dan satu perlawanan berbanding Liverpool yang sedang mengintai peluang untuk memintas.
Kehadiran semula Rashford pastinya melegakan pengendali United, Erik Ten Hag dalam usaha membina keyakinan untuk para pemainnya memburu kemenangan dan menyelesaikan isu di bahagian serangan.
Selain itu, Ten Hag juga menerima seorang lagi pemain di bahagian tengah yang pulih daripada kecederaan iaitu Scott McTominay yang terlepas sembilan perlawanan sebelum ini ketika beliau kehilangan Marcel Sabitzer sehingga penghujung musim akibat kecederaan lutut.
Selepas aksi menentang Bournemouth, United perlu menghadapi dua perlawanan terakhir menentang Chelsea dan Fulham. – AGENSI