KOTA BHARU – Penjara Pengkalan Chepa di sini memperoleh hasil jualan mencecah RM300,000 dengan menjual pelbagai jenis biskut raya sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini.
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab. Latiff berkata, permintaan produk biskut raya dari penjara itu meningkat berbanding hasil jualan sebanyak RM250,000 pada tahun lalu.
Menurutnya, tujuh jenis biskut raya dihasilkan oleh banduan wanita Penjara Pengkalan Chepa iaitu tart nanas, Almond Crunch, semperit susu, biskut mazola, biskut arab, tart keju dan My Skut Famous.
“Pembuatan biskut di Penjara Pengkalan Chepa sudah masuk tahun ke-11. Sambutan terhadap biskut raya dari tirai besi ini amat menggalakkan kerana kita menggunakan bahan-bahan premium dan dijual pada harga berpatutan.
“Sebalang kuih raya seberat 600 gram dijual pada harga RM28. Kesemua produk kuih raya dari penjara ini memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Wan Sani memberitahu, pihak penjara memasarkan produk kuih raya menerusi Unit Vokasional Jabatan Penjara Malaysia selain mendapat tempahan daripada pelbagai agensi dan individu.
Menurutnya, Istana Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) merupakan pelanggan yang paling banyak menempah kuih raya dari Penjara Pengkalan Chepa apabila membuat tempahan RM30,000 bagi setiap satu tempahan.
“Kita turut mementingkan kualiti dan menitik beratkan kebersihan apabila semua banduan wanita yang terpilih menyertai bengkel pembuatan biskut diberikan suntikan antitifoid ketika mengendalikan makanan.
“Selain kemahiran membuat biskut banduan wanita juga diajar membuat pastri, kek lapis, makanan sejuk beku dan sos pencicah,” katanya.
Wan Sani berkata, setiap banduan akan menerima bayaran insentif berdasarkan skim tertentu semasa mereka membuat kuih raya di dalam penjara.