KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menjelaskan bayaran khas saman RM50 setiap satu yang diumumkan kerajaan sempena Aidilfitri sebelum ia tamat esok.
Tinjauan Kosmo! mendapati orang ramai mula mengunjungi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jalan Tun HS Lee di sini, sejak pukul 8.30 pagi untuk berbuat demikian memandangkan semalam adalah tarikh akhir untuk membayar saman di kaunter trafik.
Walau bagaimanapun bayaran saman masih boleh dijelaskan menerusi aplikasi, MyBayarSaman sehingga esok.
Vishwakumar Sathiya, 35, berkata, dia datang untuk menjelaskan saman yang tertunggak sejak 2020 semalam kerana kadar yang ditawarkan adalah berpatutan dan terendah setakat ini.
“Saya mempunyai beberapa saman trafik, apabila kerajaan menawarkan diskaun, saya terus bayar, dapat jimatkan wang, jadi ia (wang) boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya.
Muhammad Al Farid Abdul Karim, 28, pula berkata, dia yang mempunyai tunggakan saman sejak 2015 berasa lega kerana kerajaan menawarkan diskaun selama sebulan bagi semua kesalahan pada tahun 2022 dan tahun-tahun sebelumnya.
“Hendak jelaskan bayaran saman serentak memang tidak mampu. Jadi selepas mendapat diskaun saya hanya perlu membayar RM200 berbanding RM600 (sebelum tawaran diskaun).
“Lebih baik bayar sekarang, jangan tangguh lagi,” katanya yang mempunyai empat saman trafik atas pelbagai kesalahan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia melaksanakan kadar khas bayaran saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik atas pelbagai kesalahan pada 2022 dan tahun sebelumnya bermula 21 April hingga 21 Mei ini.
Kadar khas potongan hampir 85 peratus itu julung kali dilaksanakan oleh pihak polis bagi memberi peluang ke atas saman yang tidak boleh dikompaun untuk diselesaikan.