fbpx

Agrobank memperuntukkan dana RM240,000 untuk Program Rakan Tani Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Agrobank memperuntukkan dana berjumlah RM240,000 bagi melaksanakan Program Rakan Tani Muda Agrobank

PETALING JAYA – Agrobank memperuntukkan dana berjumlah RM240,000 bagi melaksanakan Program Rakan Tani Muda Agrobank yang telah dilancarkan pada Mac lalu.

 

Pada Majlis Sambutan hari Raya Korporat Agrobank kelmarin, sebanyak 15 sekolah terpilih sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menerima peruntukan sebanyak RM3,000 bagi menjayakan program tersebut yang menyasarkan penyertaan 80 sekolah seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, program ini merupakan inisiatif Agrobank dalam membangunan pendidikan berteraskan pertanian.

“Tujuannya bagi membina keupayaan dan kestabilan sektor pertanian di masa hadapan bersesuaian dengan elemen kelestarian dan sejajar dengan agenda hijau negara di bawah Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan.

“Dalam memodenkan projek pertanian, kita perlu bergerak seiring dengan peralihan global ke arah amalan pertanian lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Program Rakan Tani Muda Agrobank ini juga sejajar dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

“Agrobank terpanggil untuk mempersiapkan generasi muda sebagai pelapis mendepani cabaran industri agro dan pemangkin keterjaminan makanan khususnya di Malaysia,” ujarnya.

Pertandingan Rakan Tani Muda akan bermula pada Jun sehingga September dan sesi penjurian serta penilaian dibuat sepanjang bulan Oktober tahun ini.

Terdapat 4 kategori tanaman yang dipertandingkan iaitu konvensional, fertigasi, hidroponik dan akuaponik, manakala majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada November 2023.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad menambah, antara jenis tanaman yang dibenarkan adalah seperti sayuran, herba, kontan dan tanaman yang memenuhi elemen sekuriti makanan.

“Usaha murni ini diharap dapat membina masa hadapan lebih cerah bagi sektor pertanian dan juga memupuk minat murid-murid dalam bidang pertanian, seterusnya mengembangkan potensi mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI