fbpx

9,822 kes HFMD dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 9,822 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 19/2023 bagi tempoh 7 hingga 13 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, walaupun ia lebih rendah berbanding kes yang dilaporkan pada tahun 2022 bagi tempoh yang sama iaitu 31,622, namun terdapat peningkatan kes HFMD dikesan bermula pada ME18/2023 (tempoh 30 April hingga 6 Mei 2023) melepasi paras purata kebangsaan iaitu 722 kes HFMD seminggu.

Katanya, bilangan kes mingguan itu telah melepasi paras amaran (alert) kebangsaan iaitu 1,150 kes seminggu.

“Selangor menyumbang kes tertinggi iaitu 2,443 kes atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sehingga 13 Mei, diikuti oleh Sabah 1,505 kes (15.3 peratus),

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 977 kes (9.9 peeatus), Johor 915 kes (9.3 peratus), Sarawak 750 kes (7.6 peratus), manakala negeri-negeri lain melaporkan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 700 kes,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Radzi berkata, sebanyak 273 kluster dilaporkan sejak Januari sehingga 13 Mei melibatkan sebanyak 170 kluster (62.3 peratus) dengan 675 kes dilaporkan berlaku di taska, tabika, tadika, pra-sekolah dan pusat jagaan harian, manakala selebihnya iaitu 101 kluster (37.0 peratus) berlaku di rumah persendirian dan Dua kluster (0.7 peratus) berlaku di sekolah.

Tambahnya, bagi tempoh yang sama langkah kawalan dan pencegahan telah diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencegah daripada penularan kes HFMD.

“Antara langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil adalah sebanyak 5,739 premis diperiksa, premis disinfeksi (4,919), penutupan premis (secara sukarela) (54), penutupan premis (Akta CDC) (113), pembukaan premis (89), persampelan (273) dan pendidikan kesihatan (33,405),” ujarnya.

Jelasnya, KKM ingin menasihati orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengawal dan menangani peningkatan kes HFMD, ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD dinasihati agar tidak membawa anak ke tempat-tempat awam, sekolah, taska, tadika, pusat asuhan kerana boleh menyebabkan jangkitan.

“Pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika pula perlu sentiasa pula perlu sentiasa memastikan kebersihan premis, saringan di pintu masuk, mengamalkan kebersihan diri, mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan melaporkan kluster HFMD ke pejabat kesihatan.

“Pengusaha ‘indoor playground’ dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) perlu mengambil tindakan antaranya melakukan saringan di pintu masuk, membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua kali sehari dan meletakkan papan peringatan atau poster berkaitan risiko jangkitan HFMD di pintu masuk,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI