PETALING JAYA – Sebanyak 15 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur mengalami kerosakan ekoran hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kebanyakan sekolah tersebut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung termasuk beberapa kejadian pokok tumbang.
Jelas beliau, antara sekolah yang terlibat di kawasan pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, SMK Perempuan Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, Salak South, SK Danau Perdana, Cochrane dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Jalan Imbi.
Manakala, bagi kawasan PPD Keramat sekolah yang terjejas adalah SK Setapak, SK Kampung Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah dan SMK Taman Melati.
Bagi PPD Sentul pula katanya, ia melibat dua buah sekolah iaitu SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis serta tahap kerosakan semua sekolah yang terlibat.
“Buat masa ini, JKR sudah menasihati pihak sekolah termasuk guru dan pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin.
Pada masa sama katanya, KKR juga menerima laporan kerosakan beberapa unit rumah di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur disebabkan kejadian ribut berkenaan.
“Antara lain kerosakan yang dilaporkan adalah membabitkan bumbung dan ‘awning’ yang tercabut diterbangkan angin kuat.
“JKR bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE