BIARPUN hanya mempunyai tempoh rehat kurang 48 jam tetapi skuad hoki remaja lelaki negara tetap optimis mampu melakar keputusan positif pada Piala Hoki Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman dari 23 Mei hingga 1 Jun depan.
Young Tigers baru sahaja tiba di tanah air lewat malam kelmarin selepas menepati ramalan memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh.
Kini, 14 pemain daripada skuad projek khas itu selain enam lagi muka baharu dijadualkan terbang ke Oman malam ini untuk bermain dua aksi persahabatan menetang India dan Jepun sebelum membuka kempen kejohanan.
Ketua jurulatihnya, Muhammad Amin Rahim berharap anak-anak buahnya dapat mengekalkan momentum semasa dan keyakinan meraih pingat emas Sukan SEA untuk menempa satu lagi kejayaan cemerlang.
“Kita nak buat sehabis baik dalam apa-apa kejohanan kita sertai. Walaupun kita dah layak ke Piala Dunia Hoki Remaja sebagai tuan rumah tetapi saya nak tengok tahap dan penanda aras pasukan ini.
“Kita lulus ujian pertama Sukan SEA dan sekarang ujian kedua yang mana ia lebih realistik dengan persediaan kita untuk menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja hujung tahun ini.
“Sukan SEA adalah batu loncatan buat mereka. Untuk mendapat hasil lebih besar, mereka perlu jalan terus, tengok depan serta beri kemahuan tinggi kerana tiada kejayaan tanpa usaha dan bekerja keras,” katanya.
Biarpun membawa bekalan sebagai raja hoki Asia Tenggara tetapi Amin tetap merendah diri dengan menyasarkan peringkat separuh akhir terlebih dahulu sebelum memikirkan peluang beraksi di pentas final nanti.
Bagi merealisasikan sasaran ke separuh akhir, Young Tigers perlu muncul dua pasukan terbaik Kumpulan B yang turut dihuni tuan rumah, Korea Selatan, Bangladesh dan Uzbekistan.
Skuad remaja akan memulakan saingan menentang Uzbekistan di Kompleks Sukan Salalah pada Selasa ini.