PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah.
Ia melibatkan 52 buah sekolah kebangsaan (SK) dan lapan buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerusi program bantuan persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan itu diharapkan dapat membantu pihak sekolah meningkatkan pencapaian akademik para pelajar.
“Bantuan itu melibatkan pelajar golongan asnaf dan keluarga kumpulan B40 dan bertujuan membantu meningkatkan akademik pelajar-pelajar ini.
“Saya harap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain turut sama membantu demi memartabatkan pendidikan di negara ini.
“Bantuan ini dibahagikan kepada dua lokasi yang dikenal pasti iaitu Penampang dan Kadamaian,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu hari ini.
Sementara itu, dalam majlis berasingan, seramai 31 warga emas di Penampang dan Kota Belud menerima bantuan kerusi roda serta katil.
Pada 2022, seramai 26,604 murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR melibatkan peruntukan berjumlah RM2.6 juta di 87 buah lokasi.
Selain itu, hampir RM900,000 sumbangan turut disalurkan kepada mereka yang kurang bernasib baik yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi para penerima. – KOSMO! ONLINE