MANCHESTER – Impian Manchester City untuk menjulang gelaran trebel musim ini berada pada landasan tepat selepas berjaya menempah tiket ke pentas final Liga Juara-Juara musim ini.
The Citizens layak selepas membelasah juara Eropah, Real Madrid 4-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Etihad awal pagi semalam untuk mencatat kemenangan 5-1 secara agregat setelah seri 1-1 di Sepanyol minggu lalu.
Pengurus City, Pep Guardiola, 52, berpuas hati kerana segala keperitan yang dilalui anak-anak buahnya dalam tiga tahun kebelakangan ini akhirnya dibalas dengan satu kejayaan cukup manis.
“Selepas 10 atau 15 minit, saya dapat merasakan kesakitan dan kekecewaan daripada kekalahan musim lalu telah hilang. Kami bermain corak sama seperti hari ini, tetapi ketika itu kami tetap kalah.
“Saya ingat lagi Toni Kroos memberitahu, mereka boleh tewaskan kami 10-1 atau 10-2 di Etihad. Kami terpaksa menelan ‘racun’ tetapi sukan dan bola sepak sentiasa memberikan anda peluang kedua.
“Jadi, saya bertekad tidak akan memastikan perkara sama berulang menentang Real musim ini. Saya amat berbangga kerana kami menerima kekalahan sebelum ini dan lihatlah keputusannya hari ini,” katanya.
City meraih dua gol di separuh masa pertama menerusi Bernardo Silva pada minit ke-23 dan 37 sebelum jaringan daripada Manuel Akanji serta Julian Alvarez memastikan tuan rumah ke final dengan penuh bergaya.
Ini adalah final kedua The Citizens dalam tempoh tiga tahun selepas tewas 0-1 kepada Chelsea sewaktu edisi 2020/2021 sebelum tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Real musim lalu.
Kini, peluang City untuk menjulang gelaran Eropah pertama dalam sejarah kelab itu dilihat cerah menentang jaguh Itali, Inter Milan pada final di Stadium Ataturk Olympic di Istanbul, Turkiye pada 11 Jun depan.
Sebelum bertemu Inter, City berpeluang mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini jika menewaskan Chelsea di Etihad pada Ahad ini.
Selepas itu, The Citizens akan berdepan seteru setempat, Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley pada 3 Jun depan. – AGENSI