MEKAH – Maklumat kesihatan kesemua bakal jemaah haji Malaysia telah dipantau sebaik mereka menerima surat tawaran mengerjakan Rukun Islam kelima itu dan akan direkodkan bagi rujukan sepanjang mereka berada di Tanah Suci.
Pengurus sistem IT TH, Parizol Amran berkata, segala maklumat itu akan diselaraskan untuk kegunaan pasukan perubatan dan pentadbiran bagi melancarkan operasi haji melibatkan rakyat Malaysia.
“Sepanjang terlibat dengan 10 kali operasi haji, saya dapati sistem IT TH telah mengalami penambahbaikan dan mendapat perhatian pihak pengurusan kerana kami ibarat pihak belakang tabir yang membuatkan operasi haji lancar.
“Sebab itu, kami tiba lebih awal daripada petugas lain untuk membuat persiapan bagi membuat pemeriksaan ke atas peralatan sama ada boleh digunakan lagi atau sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, pengurus peralatan komputer TH, Fadzlie Chee Din berkata, pihaknya ditugaskan untuk memastikan sebahagian peralatan yang ditinggalkan di bangunan TH masih boleh digunakan sebelum diserahkan kepada petugas unit lain.
“Sebaik tiba, kita akan membuat pemeriksaan untuk memastikan peralatan dan perisian masih boleh digunakan.
“Setiap bahagian dan unit biasanya memerlukan hingga 15 unit komputer kecuali perubatan yang akan menggunakan lebih 100 buah. Sebahagiannya dibawa dari Malaysia,” katanya.