KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya tumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan perniagaan kad sim melalui serbuan yang dijalankan di ibu negara pada Rabu lalu.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, menerusi serbuan tersebut, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.
Jelasnya lagi, polis turut merampas dua unit telefon bimbit, satu keping kad ATM, dua buku cek yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan.
“Berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak tahun 2020 dengan menawarkan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim dan produk-produk daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Setiap pakej pelaburan menawarkan pulangan bulanan yang berbeza dan dijanjikan bayaran untuk hayat,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, siasatan mendedahkan pelabur hanya menerima pulangan di peringkat awal sebelum dimaklumkan bahawa syarikat telah mengalami kerugian dan pulangan yang dijanjikan tidak dapat dibayar.
Kata beliau, sehingga kini tiga laporan polis telah diterima berkait penipuan berkenaan dengan jumlah kerugian keseluruhan RM1,452,000.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman dua hari dan diberikan jaminan polis setelah tempoh reman tamat.
“Mana-mana individu yang telah menjadi mangsa, digesa untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal ‘Semak Mule’, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan yang meragukan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.