SHAH ALAM – Polis mengenal pasti sekumpulan individu yang menyertai demonstrasi membantah penarikan rayuan kes kalimah Allah di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan yang jelas melanggari undang-undang kerana dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Katanya, tiada sebarang permohonan atau notis pemakluman awal diterima polis bagi penganjurannya.
“Kita telah kenal pasti peserta yang hadir dan mereka dipanggil bagi dirakam percakapan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan demonstrasi itu tetap berlangsung dengan disertai puluhan orang ramai selepas selesai solat Jumaat, kira-kira pukul 2 petang biarpun dilarang polis.
Demonstrasi itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku dan turut dikawal ketat puluhan anggota polis. -KOSMO!ONLINE