SUNGAI PETANI – Lebih 1,000 keluarga dari dua taman perumahan di Semeling, dekat sini resah apabila kawasan tersebut masih mengalami gangguan bekalan air susulan kerosakan pintu baraj pada Sungai Muda sejak Ahad lalu.
Penduduk Taman Universiti dan Universiti Jaya itu ketika ditemui berharap agar isu air di situ diselesaikan segera kerana sudah penat menadah dan mengangkut air untuk kegunaan harian.
Menurut mereka, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) ada menghantar bekalan air menggunakan lori tangki dua kali sehari, namun lokasi agihan terletak agak jauh.
Seorang penduduk Taman Universiti Jaya, Azlina Awang, 41, berkata, SADA menjadikan kawasan lapang di hadapan sebuah stesen minyak di sini sebagai lokasi agihan statik bekalan.
“Ramai penduduk yang tinggal di bahagian belakang taman ini terpaksa berulang-alik kira-kira 2 kilometer (km) setiap kali untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
“Ini memang menyusahkan terutamanya bagi kaum wanita yang hanya menggunakan motosikal kerana perlu berulang-alik untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan keluarga,” katanya di sini semalam.
Jamaluddin Hashim, 40, yang bekerja sebagai pemandu lori dan tinggal di Taman Universiti pula berharap, bekalan air bersih dapat disalurkan segera ke rumah mereka.
“Kami sudah penat kerana hampir seminggu terpaksa mengangkut air sehingga ia menjejaskan kerja dan aktiviti seharian.
“Jika tak angkut air, kami sekeluarga akan alami masalah untuk memasak, membasuh pinggan mangkuk dan kegunaan ke tandas,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Rodziah Che Hat, 45, berkata, dia terpaksa mengangkut air untuk kegunaan ahli keluarganya seramai lima orang disebabkan suaminya bekerja di luar daerah.
“Memang penat angkut air ini, tambahan lagi saya terpaksa berulang-alik banyak kali membawa tong kecil menggunakan motosikal kerana tidak tahu memandu kereta.
“Kami penduduk di sini tidak mempunyai alternatif seperti telaga sebagai punca air dan hanya bergantung kepada bekalan air daripada SADA.
“Alangkah baiknya kalau pihak SADA boleh menghantar air dari rumah ke rumah,” katanya.
Selain itu ujarnya, dia perlu membeli air minuman atau mineral di kedai.
Kosmo! sebelum ini melaporkan lebih 250,000 akaun pengguna, di daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling mengalami gangguan bekalan air selepas paras Sungai Muda menyusut ekoran kerosakan mekanikal pada sensor automatik pintu baraj sungai tersebut.
Paras sungai kembali pulih dan masalah gangguan bekalan air pulih secara berperingkat.