fbpx

Mahkamah: Lapan mengaku salah ceroboh tanah rizab Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam kerana menceroboh tanah rizab Sungai Klang. - Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

SHAH ALAM – Lapan daripada 11 individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menceroboh tanah rizab Sungai Klang, minggu lalu.

Mereka adalah M. Sugan, 35; Ng Teck Loon, dan M. Kumaran yang masing-masing berusia 44 tahun; J.R. Thiagarajan, 45; Tee Soon Beng, 55.

Selain itu, dua warga Indonesia iaitu Rajul Fuddahri , 20 dan Muhammad Siddiq 24 serta Amritpal Singh, 25, yang merupakan warga India.

Pengakuan bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibuat secara berasingan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, Majistret Faizah Abd. Sani dan Muhammad Syafiq Sulaiman.

Sementara tiga lagi iaitu G.H. Shivaneswaran,28 ; S. Sathishkumar,34 dan Anis Ahmad Hanifah, 45, membuat pengakuan sebaliknya juga di hadapan majistret sama.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka telah melakukan pencerobohan jenayah di tanah rizab Sungai Klang, Jalan Ngah Ibrahim, Seksyen 36 di sini dengan niat melakukan kesalahan pukul 11.30 pagi pada 9 Mei lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Difahamkan, antara aktiviti haram yang dijalankan di tanah rizab itu termasuk pembuangan dan penambakan sampah serta sisa pepejal, pengorekan pasir sungai dan tanah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM1,500 hingga RM3,000 kepada lapan warga tempatan manakala tiga warga asing tidak dibenarkan ikat jamin.

Tarikh hukuman ditetapkan pada 1 dan 16 Jun bagi penyediaan fakta kes selain sebutan semula pada tarikh sama bagi yang tidak mengaku bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh, Nurul Farah Sofea Norazman, Saidah Fasihah Che Yussoff dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Sementara kesemua tertuduh diwakili peguam antaranya Farith Emier Farhan, Harvind Ramar dan Jason Anthony. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI