fbpx

Lembu seludup jadi pilihan ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Segelintir penternak di sempadan terpaksa menyeludup lembu dari Thailand bagi memenuhi permintaan. – GAMBAR HIASAN

RANTAU PANJANG – Keba­nyakan penternak lembu di daerah ini tiada pilihan lain apabila mereka terpaksa membeli lembu yang diseludup dari negara jiran untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk ibadah korban.

Rata-rata penternak mene­rima tempahan dan permintaan pelanggan yang mahu mengambil bahagian dalam ibadah korban sejak awal Ramadan lalu.

Keadaan itu menyebabkan penternak perlu menyediakan lebih banyak lembu untuk memenuhi permintaan pelanggan sehingga ke tarikh Hari Raya Aidiladha.

Seorang penternak yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 32, berkata, dia mengakui bahawa 15 ekor lembu ternakannya dibeli daripada penyeludup kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, lembu-lembu tersebut perlu dibawa masuk lebih awal kerana dia akan menternak haiwan-haiwan tersebut terlebih dahulu sebelum menjualnya untuk ibadah korban.

“Sejujurnya, lembu ternakan yang sedia ada di sini tidak cukup untuk menampung permintaan pelanggan bagi ibadah korban. Jadi, pilihan yang ada adalah kami membeli dan menternak lembu dari Thailand di sini.

“Lembu di sini atau di sana (Thailand) tiada bezanya kerana ia juga lembu kampung. Jadi, kaedah ternakan juga sama apabila saya akan memberi makan haiwan terbabit rumput atau dedak,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Kata Amir, jika tidak menternak lembu seludup, dia percaya bekalan haiwan itu tidak akan mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan bagi me­laksanakan ibadah korban.

Sementara itu, seorang penyeludup yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 45, berkata, cuaca panas yang menyebabkan Sungai Golok cetek ketika ini memudahkan kerja-kerja penyeludupan lembu di beberapa pangkalan haram di sini.

Jelasnya, sebelum ini, penyeludup gunakan bot untuk membawa dua hingga tiga ekor lembu untuk satu trip atau perjalanan merentasi Sungai Golok.

“Apabila paras air Sungai Golok turun sehingga 0.5 meter baru-baru ini, saya boleh heret empat hingga lima ekor lembu seberang Sungai Golok dengan hanya berjalan kaki pada satu-satu masa.

“Saya hanya akan buat dua trip sahaja sehari dan boleh membawa masuk sehingga 10 ekor dalam tempoh itu.

“Seekor lembu yang diseludup kebiasaannya seberat 200 hingga 300 kilogram (kg). Apabila ia diternak dengan baik di sini, beratnya mampu mencecah 600 kg dan ia cukup untuk dijadikan haiwan korban nanti,” katanya.

Seorang lagi penyeludup yang dikenali Nordin, 50, berkata, dia berniaga lembu yang diseludup dari negara jiran sejak lebih 10 tahun lalu dengan harga tidak lebih RM2,000 seekor.

“Bila sudah bela lembu itu di sini, harganya mampu cecah lebih RM7,000 seekor,” jelasnya.

Kosmo! semalam melaporkan harga sebahagian lembu korban mencecah RM1,100 sebahagian.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI