fbpx

Kontraktor mengaku tidak salah pecah amanah duit perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kontraktor tidak mengaku salah atas tuduhan pecah amanah tahun lalu membabitkan wang rakan perniagaannya lebih RM400,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

KUALA PILAH – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah tahun lalu membabitkan wang rakan perniagaannya lebih RM400,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Izaan Syafiq Anuar, 29, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh antara 1 April 2022 hingga 8 Mei 2022 bertempat di Kuala Pilah, telah melakukan pecah amanah jenayah di mana tertuduh sebagai pemilik syarikat Syafiq GBS Enterprise yang diamanahkan dengan wang pembayaran bagi projek penyelenggaraan jalan serta kerja-kerja berkaitan di Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Tengah Sri Menanti.

Tertuduh telah menandatangani surat perjanjian di antara syarikat miliknya dengan sebuah syarikat lain di Kuala Pilah dan secara tidak jujur telah menyalahgunakan wang pembayaran projek berjumlah RM476,689 untuk kegunaan sendiri.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 406 akta yang sama.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, bagaimanapun memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Muhammad Amirul dalam hujahannya menyatakan dalam proses tuntutan dilakukan, tertuduh tidak dapat dikesan dalam tempoh satu tahun dan baharu sahaja ditangkap polis Isnin lalu.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Mohamad Zahid Ahmad memohon wang jaminan diberikan dan wang dakwaan itu hanyalan rekaan pengadu semata-mata.

Malah menurutnya, jika jaminan tidak diberikan, ia akan memberi kesan memandangkan tertuduh menanggung isteri, dua anak serta ibu bapa dan dua adik yang sedang belajar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 14 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI