SEBERANG PERAI – Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menyumbangkan dekorasi landskap bagi Taman Terapi khusus buat kegunaan penghuni Kompleks Darul Hanan, Kepala Batas di sini.
Ketua Kewangannya, Abd Razak Abd Rahman berkata, sumbangan terbabit bakal memberi suasana baharu kepada warga emas yang mahu bersiar-siar mahupun beriadah.
“Seperti tahun-tahun terdahulu, kita sering menjalankan program bantuan menerusi sumbangan barangan keperluan kepada pertubuhan atau rumah jagaan sekitar negeri ini.
“Walau bagaimanapun, kali ini kita berbesar hati menyumbang dana lebih RM20,000 untuk merealisasikan Taman Terapi di sini.
“Projek ini dijangka bermula bulan hadapan dan akan siap sepenuhnya menjelang pertengahan Julai nanti,” katanya selepas menghadiri Majlis Meraikan Syawal Bersama Warga Emas di Kompleks Darul Hanan, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Badan Kebajikan Rumah Warga Emas Kompleks Darul Hanan, Datuk Dr. Roslan Ahmad dan Datuk Sazali Hussein serta lebih 30 sukarelawan yang juga kakitangan JKSB.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pihaknya sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk memfokuskan usaha memelihara dan memulinara alam sekitar.
“Selain itu, kita mahu terus membantu dalam memberkasakan ilmu pengetahuan serta pembangunan keharmonian komuniti,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE