SETELAH merekodkan perfect 10 musim ini, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu meneruskan rekod kemenangan ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching berdepan Kuching City FC, pada malam ini.
Pengendali JDT, Esteban Solari menuntut barisan pemainnya untuk memberikan persembahan terbaik dalam misi membawa pulang tiga mata, sekali gus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super.
Katanya, skuad Harimau Selatan kini berada di tahap terbaik setelah menang kesemua 10 perlawanan liga setakat ini dan hanya membenarkan gawang dibolosi sekali sahaja.
“Perlawanan menentang Kuching City pastinya menjanjikan aksi yang sukar kerana kami akan bermain di tempat lawan, malah beraksi di permukaan padang berbeza berbanding di Stadium Sultan Ibrahim.
“Walaupun keadaan berbeza ketika beraksi di laman sendiri, saya harap pemain dapat harungi cabaran itu dalam masa sama mengekalkan corak permainan menyerang diterapkan selama ini,” katanya.
JDT masih kekal di puncak Liga Super dengan 30 mata hasil 10 kemenangan berturut-turut, manakala The Cats berada di kedudukan ke-12 setelah mengutip empat mata.
Dalam pada itu, Solari enggan mengulas mengenai mutu padang di Stadium Negeri yang dikatakan bakal memberikan kesukaran kepada skuad Harimau Selatan beraksi pada tahap terbaik.
Jelasnya, para pemain sudah bersedia berdepan segala kemungkinan dan percaya ia tidak akan mengganggu rentak permainan Harimau Selatan.
“Kami sedia maklum mengenai keadaan padang (Stadium Negeri), kita tidak boleh mengharapkan semua akan berada di tahap terbaik seperti di gelanggang sendiri.
“Kita akan tetap melakukan yang terbaik dan cuba menyesuaikan diri dengan baik, bukan sahaja dengan keadaan padang tetapi juga keadaan cuaca di sini,” katanya.