SHAH ALAM – Masyarakat digesa berhenti mensensasikan isu cadangan pewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar di negara ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara tidak mempunyai inisiatif serius untuk mewujudkan kluster tersebut yang dikhuatiri menyebabkan kemunculan dua kelompok masyarakat.
“Ia cuma idea untuk menangani permintaan daripada golongan T20 yang sanggup membayar, namun mengekalkan orientasi MRSM. Kita juga tidak mahu mengurangkan kuota B40 sedia ada kerana itu prinsip dan dasar kita.
“Sebab itu kita tanya pandangan positif dan negatif dan kita berharap masyarakat dan media tidak cepat mensensasikan sesuatu tajuk berita.
“Contohnya apabila idea tersebut dilontarkan ada pihak mendakwa Mara memperkenalkan MRSM dua darjat,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Konvoi Jelajah Pendidikan Mara, di sini hari ini.
Sebelum ini, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa marah apabila MRSM berbayar dicadang untuk diwujudkan khusus buat golongan berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia menyokong cadangan mewujudkan MRSM berbayar untuk golongan T20.
Dalam perkembangan berlainan, Asyraf Wajdi memaklumkan Mara menawarkan 9,300 tempat pengajian di bidang lanjutan meliputi 3,300 tempat dalam bidang profesional dan 6,000 tempat dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). – KOSMO!ONLINE