fbpx

Golongan wanita diberi peluang yang adil dan saksama – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan isteri beliau hadir Persidangan Dunia Ke-30 Associated Country Women of the World di Hotel Marriot, Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Kerajaan akan terus komited memberi dukungan penuh dan berterusan kepada segala usaha yang bertujuan untuk memperkasa kaum wanita khusus dalam sektor ekonomi, kewangan dan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya dengan pelbagai inisiatif dan program yang dirangka, golongan wanita akan terus diberi peluang yang adil dan saksama untuk berjaya dalam pelbagai bidang.

“Pagi tadi saya bersama Azizah (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) menghadiri Majlis Perasmian pembukaan Persidangan Dunia Ke-30 Associated Country Women of the World di Hotel Marriot, Putrajaya.

“Selamat maju jaya buat Associated Country Women of the World atas usaha dalam memartabatkan serta meningkatkan kedudukan wanita di peringkat global.

“Keberadaan kalian sebagai wadah pertemuan dan wacana bagi wanita-wanita dari pelbagai negara merupakan sumber inspirasi yang terbesar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau mengharapkan kerjasama serta pertukaran idea dalam persidangan itu dapat memperluas ruang gerak dan peluang untuk memajukan hak dan kepentingan wanita khususnya di Malaysia.

“Semoga persidangan ini berjalan dengan lancar dan sukses sepenuhnya. Teruskan usaha mulia kalian dalam membawa wanita ke tahap yang lebih tinggi dalam masyarakat. Kejayaan wanita adalah kejayaan negara dan dunia,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, beliau turut merasa berbesar hati dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI