KUALA LUMPUR – Selebriti sensasi, Bella Astillah bersikap terbuka untuk menjayakan watak wanita pemusnah rumah tangga orang atau penyondol dalam mana-mana naskhah akan datang.
Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, sebelum ini dia sering membawakan watak beremosi seperti wanita teraniya.
Kini, dia mahu mencuba kelainan dengan membawakan watak yang lebih berat dan mencabar.
“Saya teringin nak bawa watak antagonis seperti menjadi wanita penyondol. Sebelum ini saya kerap diberikan watak beremosi.
“Belum pernah lagi saya bawakan watak perempuan yang betul-betul jahat dan teringin nak bawakan watak sebegitu. Saya tidak kisah dan akan terima jika diberikan watak wanita penyondol,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar isteri kepada penyanyi Aliff Aziz itu lagi, dia terbuka untuk membawakan watak penyondol kerana mahu menyelami sendiri perasaan menjadi perampas kebahagiaan dalam rumah tangga orang lain.
“Nak juga rasa jadi wanita penyondol walaupun cuma dalam lakonan. Nak tahu perasaan mereka. Saya tidak kisah dan terbuka sebab dalam kehidupan realiti pun memang wujud watak sebegitu (penyondol),” jelasnya.
Bagaimanapun kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu, dia akan merujuk dan meminta pendapat terlebih dahulu daripada suaminya jika mahu berlakon dalam sesebuah drama.
“Saya tidak selektif, cuma saya akan minta juga pendapat daripada suami. Kalau dia rasa jalan cerita itu menarik, dia sendiri yang akan suruh saya buat (terima tawaran).
“Tapi saya tidak kisah pun diberikan apa sahaja watak kerana saya mahu mencuba dan daripada situ, saya akan belajar untuk menimba pengalaman baharu,” jelasnya.
Ketika disoal penerimaan peminat jika dia dibenci gara-gara membawakan watak wanita penyondol, Bella, 29, ketika ditemui di majlis rumah terbuka dan pelancaran pusat karaoke Loud Speaker di Datum Jelatek Mall di sini, semalam tidak berasa bimbang tentang kemungkinan tersebut.
“Sesetengah pelakon takut untuk bawakan watak sebegitu (jahat) sebab bimbang orang akan benci. Tapi bagi saya, kalau orang benci maksudnya lakonan saya menjadi,” katanya teruja.
Mengimbas kembali, dunia hiburan tanah air sebelum ini dikejutkan dengan kisah gangguan rumah tangga Bella bersama Aliff oleh pelakon baharu, Sophia Albarakbah yang mengakui telah jatuh hati dengan aktor asal Singapura itu.
Pengakuan Sophia itu sekali gus membuatkan Bella membuka ‘pekung’ aktres tersebut dalam media sosial.
Sophia yang menerima hentaman daripada netizen atas perbuatannya itu kemudiannya memberitahu telah tersilap langkah dan memohon maaf daripada Bella dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Bella berkahwin dengan Aliff pada Julai 2016 namun bercerai pada Mei 2019 sebelum pasangan selebriti terbabit merujuk kembali tidak lama selepas itu ketika masih dalam tempoh iddah. – KOSMO! ONLINE