DUNGUN – Bas persiaran yang terlibat dalam nahas di Kilometer 375.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rawat dan Rehat Bukit Besi di sini sehingga mengorbankan dua nyawa hari ini didakwa dipandu laju.
Penumpang, Loh Suat Lee, 38, mendakwa, dia dan suami serta tiga anak terkejut apabila mendapati bas yang dinaiki mereka terhuyung-hayang sebelum terbalik.
“Saya dapat merasakan bas itu dipandu laju. Saya menjadi panik apabila bas terhuyung-hayang dan hanya mampu menjerit ketakutan.
“Bas itu terbalik menyebabkan kami terhimpit antara satu sama lain. Kami keluar menyelamatkan diri mlalui cermin hadapan yang pecah walaupun gelap,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Dungun di sini semalam.
Suat Lee berkata, mereka yang menyertai rombongan ke Pulau Redang, Kuala Nerus bertolak dari Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 malam semalam.
Ceritanya, rombongan tersebut sepatutnya menaiki bas lain, namun ia rosak lalu digantikan dengan bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Bas tersebut berhenti dua kali termasuk Bandar Muadzam Shah, Pahang sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian,” katanya.
Suat Lee memberitahu, mereka sepatutnya berhenti di Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu sebelum menaiki kapal untuk ke Pulau Redang.
Kemalangan pada pukul 5.20 pagi itu mengorbankan Tan Poh Hwa, 42, dan abang iparnya, Choo Chia Tan, 44. – KOSMO! ONLINE