TAIPEI, Taiwan – Seorang pelakon tempatan berkongsi klip video dia menggoreng plasenta atau uri isterinya untuk dimakan selepas wanita itu melahirkan anak mereka, lapor laman berita Mothership semalam.
Benjamin Wong memuat naik video itu di laman Instagram bersama kapsyen: “Melahirkan anak adalah sukar, jadi dikatakan cara terbaik untuk memulihkan badan adalah dengan memakan plasenta. Ini adalah cara mudah untuk memasak plasenta.”
Benjamin menunjukkan kemahiran memasak dengan mendokumentasikan cara dia menggoreng plasenta isterinya.
Dia mula mencuci organ itu dan mengeluarkan selaput kelabu yang menutupi plasenta.
Selepas itu, dia memotongnya menjadi kepingan sebelum memasukkannya ke dalam air mendidih. Dia merebus semula kepingan plasenta selepas menukar air.
Benjamin kemudian menyediakan sayur-sayuran untuk digoreng bersama plasenta.
Setelah siap dimasak, dia memberi isterinya sekeping plasenta goreng sebelum memakannya.
Apabila menggigit plasenta itu, Benjamin mendapati ia ‘sedap’, manakala isterinya berpendapat ia ‘hanyir’.
Isteri Benjamin mencubanya buat kali kedua dan menganggapnya ‘agak sedap dan rangup’. – Agensi