SHAH ALAM – Faktor desakan hidup membuatkan golongan ibu tunggal dalam kalangan warga emas tidak mempunyai pilihan, selain menjadikan kerja sebagai pemandu bas sekolah haram atau sapu sebagai punca pendapatan mereka.
Kos sara hidup yang semakin tinggi dan tiada majikan menerima mereka kerana faktor usia membuatkan mereka menjadikan pekerjaan itu sebagai kelangsungan hidup walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang.
Seorang pemandu bas sekolah haram yang mahu dikenali sebagai Bamasathi, 60, berkata, dia telah memandu kenderaan tersebut sejak 10 tahun lalu selepas kematian suaminya 14 tahun lalu.
Wanita itu memberitahu, dia membawa 13 pelajar dan murid dari dua sekolah untuk sesi pagi dan petang
dengan bayaran sebanyak RM100 seorang.
“Kalau tidak kerja hendak makan apa. Kos sara hidup mana pernah turun, naik adalah.
“Saya menanggung bayaran sewa rumah RM1,000 sebulan, manakala anak tunggal saya baru mendapat kerja
sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan sekitar RM2,000,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Bamasathi memaklumkan, sebelum ini dia memiliki semua lesen dan dokumen diperlukan sebagai pemandu bas sekolah, namun gagal memperbaharuinya selepas melalui banyak birokrasi pihak bertanggungjawab.
“Lagipun usia sudah tua, siapa mahu ambil kerja. Saya juga pernah kena saman selepas aduan dibuat rakan yang memandu bas berdaftar.
“Jarak penghantaran harian dari rumah pelanggan ke sekolah tidak jauh sekitar 10 hingga 20 kilometer,” katanya.
Bagi rakannya yang dikenali Kemalavathi, 59, dia rela membanting tulang kudrat mencari rezeki daripada menghabiskan masa berehat di rumah selepas dua anaknya tinggal berasingan selepas berkahwin.
Katanya, beberapa tahun lalu, dia pernah memohon sebagai pemandu bas berdaftar, namun dikatakan tidak mematuhi syarat disebabkan usia kenderaan yang melebihi 20 tahun.
“Takkan saya mahu tunggu sampai syarat dipatuhi. Saya pun bukan orang kaya dan tiada wang hendak beli van baharu.
“Walaupun tidak berdaftar, namun saya bukan bawa laju-laju dan melebihi muatan, asalkan anak-anak selamat sampai ke rumah setiap hari,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Ahmad Munir Ahmad Ali, 40, berkata, dia terpaksa menggunakan khidmat
kenderaan persendirian disebabkan ketiadaan atau bas sekolah terhad memasuki kawasan perumahan.
“Saya menggunakan khidmat mereka untuk kemudahan dua anak untuk ke sekolah harian dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA),” katanya.