fbpx

UCL: Milan mahu fokus layak saingan musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MILAN perlu kembali fokus aksi Serie A berbaki tiga perlawanan apabila mereka tidak berada dalam kelompok empat pasukan terbaik untuk ke saingan UCL musim depan. – AFP

MILAN – Jurulatih AC Milan, Stefano Pioli meluahkan kekecewaan apabila pasukannya gagal melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas tewas 0-3 secara agregat kepada Inter Milan di separuh akhir.

Pada aksi timbal balik yang berlangsung di San Siro awal pagi semalam, Milan gagal untuk melakukan kebangkitan apabila tewas 0-1 selepas Inter menja­ringkan gol tunggal perlawanan menerusi penyerang, Lautaro Martinez.

Lebih mengecewakan, Pioli langsung tidak dapat mencatat sebarang kemenangan ke atas Inter pada saingan musim ini apabila turut mengalami kekalahan dalam dua perlawanan saingan Serie A serta aksi separuh akhir pertama UCL.

Beliau berkata, pemain-pemainnya sudah menunjukkan aksi terbaik pada perlawanan itu apabila mencipta beberapa peluang menjaringkan gol di separuh masa pertama, namun tidak dapat mengekalkan momentum selepas waktu rehat.

“Tidak adil untuk mempersoalkan kemahuan pemain pada perlawanan hari ini (semalam) kerana mereka bermain cukup baik di awal permainan. Saya mengakui sedih dengan keputusan ini kerana kami mara ke separuh akhir secara merit.

“Secara jujur, saya adalah jurulatih yang paling kecewa di dunia pada ketika ini. Gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir adalah sesuatu yang pa­ling memeritkan, namun kami perlu menang jika mahukannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau enggan menyalahkan barisan pemainnya atas kekalahan tersebut memandangkan mereka adalah pemain sama yang membawa Milan merangkul gelaran ke-19 Serie A musim lalu.

“Saya fikir kami sudah harungi kempen Liga Juara-Juara yang cukup baik. Adalah perkara biasa sekiranya mengalami kekecewaan apabila tersingkir daripada saingan selepas melangkah ke separuh akhir.

“Sekarang kami perlu alihkan fokus terhadap baki tiga perlawanan liga selepas ini. Saya perlu bantu pemain-pemain dapatkan semula semangat kerana kami tidak mahu tamatkan musim ini dengan keputusan negatif sebaliknya meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI