WASHINGTON – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman menggesa Kongres Amerika Syarikat (AS) agar mewujudkan peraturan khusus untuk kepintaran buatan (AI) dengan mengakui bahawa teknologi itu mungkin menjadi satu ancaman, lapor portal berita MailOnline.
Syarikat OpenAI yang berpangkalan di San Francisco, California, mendapat perhatian umum selepas ia mengeluarkan ChatGPT lewat tahun lepas. Ia merupakan alat chatbot percuma yang menjawab soalan pengguna dengan respons seperti manusia.
Wakil-wakil rakyat AS menyoal Altman secara agresif selama lima jam dan menekankan bahawa aplikasi ChatGPT serta model lain, sama ada boleh membentuk semula sejarah manusia untuk menjadi lebih baik atau lebih buruk. Ia selain itu turut menyamakan teknologi tersebut dengan mesin cetak atau bom atom.
Altman dalam masa sama turut mengakui kebimbangan terburuknya adalah kemudaratan ketara boleh berlaku kepada seluruh dunia apabila menggunakan teknologi dibangunkan syarikatnya.
“Jika teknologi ini memudaratkan, ia boleh menjadi sesuatu yang agak berbahaya justeru, kami mahu lantang bersuara mengenainya. Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku,” kata Altman.
Sesi persidangan tersebut adalah yang pertama daripada siri yang bertujuan mewujudkan peraturan untuk AI, yang menurut wakil-wakil rakyat AS, ia sepatutnya dilakukan sejak bertahun-tahun lalu.
Ia bukan bertujuan untuk mengawal AI sebaliknya bagi memulakan perbincangan mengenai cara-cara menjadikan ChatGPT dan model lain telus selain memastikan risikonya didedahkan.
Sementara itu, meskipun mengakui AI akan menggantikan sejumlah pekerjaan, Altman berkata, ia juga akan mewujudkan jawatan baharu yang dipercayai akan menjadi lebih baik.
“Saya percaya bahawa akan wujudnya pekerjaan yang jauh lebih baik di satu sudut lain. Bagi saya, ia akan mengautomasikan sepenuhnya sejumlah pekerjaan sekali gus mencipta pekerjaan baharu yang kami percaya adalah lebih baik,” ujarnya. – AGENSI