PUTRAJAYA – Proses tapisan keselamatan bagi permohonan kewarganegaraan dijangka dapat dikurangkan kepada lima hari berbanding 53 hari sebelum ini.
Itu jaminan diberikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaik sahaja sistem integrasi yang dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) beroperasi sepenuhnya pada Oktober depan.
Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman berkata, ketika ini, sistem integrasi itu sedang dibangunkan sekali gus memastikan permohonan kewarganegaraan dapat diproses dengan lebih pantas.
Beliau berkata, bagi permohonan yang bermasalah pula, tempoh masa pemprosesan dapat dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari bekerja.
“Bermula Jun 2023 ini juga, pelanggan yang membuat permohonan pelepasan kewarganegaraan di bawah perkara 23 Perlembagaan Persekutuan juga boleh menyemak status permohonan mereka secara dalam talian.
“Pada masa sama, JPN kini dalam usaha mempercepatkan proses pertimbangan dan membuat keputusan bagi permohonan kewarganegaraan yang kini telah diturunkan kuasa oleh Menteri Dalam Negeri kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
“Perkara itu tertakluk kepada permohonan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 15(1) [Pendaftaran isteri dan anak warga negara] dan Perkara 16 [Pendaftaran kerana lahir sebelum Hari Merdeka],” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 (APC) dan Majlis Persaraan 2023 JPN di sini hari ini.
Katanya, permohonan kewarganegaraan yang telah selesai diproses akan segera dipertimbangkan melalui Panel Jawatankuasa yang bersidang pada setiap minggu. – KOSMO! ONLINE