IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan agar para pemimpin belia diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri ini esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan agar para pemimpin muda berkenaan menyampaikan khutbah bertemakan Belia Pewaris Negara Bangsa.
Jelasnya, titah oleh Sultan Nazrin itu adalah sempena sambutan Hari Belia Negara, sekali gus mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh golongan berkenaan.
“Susulan daripada itu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak telah mengemukakan 24 nama pemimpin belia kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di 24 masjid di Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Annuar, Muhammad Syukri Alimar Shidi daripada Kelab Belia Abrar, Sg. Rokam diperkenankan tauliah untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri ataupun Masjid Sultan Idris Shah II.
Dua buah masjid di daerah Kinta terlibat dengan titah Sultan Nazrin, satu masing-masing di Larut Matang, Hilir Perak, Manjung, Batang Padang, Bagan Datuk, Lenggong, Perak Tengah, Muallim dan Selama.
Sementara itu Gerik, sembilan buah masjid akan terlibat dengan titah baginda, manakala dua masing-masing di Kuala Kangsar dan Kampung Gajah. – KOSMO! ONLINE